Thursday, July 25, 2013

Kisah peniaga sate

Sambungan dari "Harga Sekeping Gambar/Foto" yang lepas, maka kali ini saya ingin bercerita pasal peniaga sate pula.

(gambar hiasan)
Image Image


Seorang penjual sate akan keluar seawal pagi untuk ke pasar membeli ayam dan daging yang terbaik untuk dibuat sate. Ayam dan daging akan dipotong mengikut saiz yang sesuai dan kemudiannya diperap. Memang rumit kerjanya. 

Selepas memerap ayam dan daging akan dicucuk ke lidi. Biasanya 5 ketul daging akan dicucuk pada satu lidi. Bayangkan kalau sehari 10,000 cucuk sate perlu disediakan. Sementara itu kuah kacang perlu dimasak. Nasi juga perlu ditanak untuk dibuat nasi impit serta timun dan bawang perlu dipotong untuk menjadi pelengkap hidangan sate.

Selepas itu sate-sate dibawa ke gerai atau restoran tempat penjual sate itu berniaga. Bahagian terakhir ialah membakar sate sebelum dihidangkan kepada pelanggan. Membakar sate perlu cermat supaya sate tidak hangus tetapi masak empuk hingga ke dalam daging. Panas dan asap adalah teman peniaga sate.

Di zaman moden ini sudah ada banyak mesin dan peralatan untuk memudah dan mempercepatkan proses membuat sate. Kalau dulu pakai kipas dengan tangan (manual), sekarang sudah ramai penjual sate menggunakan kipas elektrik.

Bayangkan jika anda seorang peniaga sate telah didatangi oleh Pak Kaya (bukan nama sebenar) seorang pemilik rangkaian syarikat "catering" yang besar lagi berjaya.

Pak Kaya : "Saya mahu sedikit sate untuk jamuan makan malam sebuah syarikat koperat"
Peniaga sate : "Berapa ribu cucuk sate yang Pak Kaya mahu beli"

Pak Kaya : "Saya mahu 50 cucuk sahaja, tak banyak, sekadar untuk menjadi pelengkap hidangan di meja VIP.... tak banyak sikit sahaja jadi saya nak minta sahaja, bukan nak beli"
Peniaga sate : "Mana boleh macam tu, saya berniaga, lagi pun saya peniaga kecil, 50 cucuk pun duit juga bagi saya"

Pak Kaya : "Amboi eksyennya, 50 cucuk pun tak boleh bagi, bukannya banyak, sepatutnya kamu bersyukur dan berbangga kerana saya mahu sate kamu untuk dijadikan hidangan di meja VIP, nanti kamu boleh bercerita pada orang kampung kamu yang sate kamu pernah menjadi hidangan VIP dari syarikat korperat, kamu juga boleh tulis status di wall Facebook kamu yang sate kamu telah jadi hidangan istimewa dijamuan korperat."

Peniaga Sate : ............................................???


Kalau anda peniaga sate tersebut, apakah reaksi anda??
Sila nyatakan reaksi anda di ruangan komen, terima kasih...
______________________________________________________________________

sambungan...

Ada berbagai reaksi yang ditulis di ruangan komen di bawah dan juga di dalam facebook. Ada juga yang kata, cucuk ajer lidi sate ke kepala Pak Kaya. hehehe... komen paling best pula dari "kumbing" (sila baca di ruangan komen)...

OK.. sebenarnya reaksi peniaga sate bergantung kepada berbagai faktor termasuk latarbelakang pendidikan, keluarga, keadaan dan situasi beliau ketika itu.

Mungkin peniaga sate itu berfikir, "Ini satu PELUANG untuk meluaskan perniagaan, kerana dengan cara bekerjasama dengan Pak Kaya, sate beliau akan mendapat promosi dan publisiti. Kerana apabila VIP dari syarikat korperat itu merasai kelazatan sate beliau, mungkin mereka akan datang ke gerai sate beliau untuk menempah sate di masa akan datang"

Mungkin juga perniaga sate itu berfikir, "Ini satu peluang untuk BERSEDEKAH, tetapi kenapa perlu bersedekah kepada orang kaya dan syarikat korperat.?? Biasanya bersedekah kepada orang yang memerlukan dan serba kekurangan, ini dah tak betul. Aku pun biasa bersedekah kepada handai taulan, saudara mara mahupun orang yang benar-benar kesempitan"

Atau mungkin juga peniaga sate itu berfikir, "Pak Kaya ini ingin MENGAMBIL KESEMPATAN dari peniaga kecil seperti beliau".

Berbagai kemungkinan yang difikirkan oleh peniaga sate tersebut, tetapi apakah hubungannya dengan dunia fotografi..?

 
Apa yang saya tulis di atas sebenarnya adalah suatu anologi atau perbandingan dengan apa yang biasa berlaku di dalam dunia fotografi. 


Berdasarkan cerita peniaga sate dan "Pak Kaya" di atas, sepatutnya Pak Kaya menggunakan kekayaannya untuk MEMBANTU peniaga sate dan bukannya MENGAMBIL KESEMPATAN atas apa pun alasan yang beliau berikan. Begitu juga di dalam dunia fotografi, sepatutnya syarikat-syarikat besar membantu pemfoto-pemfoto kecil khususnya "freelance photographer" atau mana-mana pemfoto yang menjalankan perniagaan perkhidmatan fotografi dengan cara memberikan tugasan fotografi dan membayar mereka dengan bayaran yang sepatutnya. Bukannya mengambil kesempatan atas alasan "tolong" ambil gambar dan sebagainya.

Begitu juga pihak media, samada akhbar, majalah atau media baru sepatutnya membeli atau membayar foto-foto yang mereka siarkan (publish) kerana mereka menjana pendapatan lumayan dari hasil jualan akhbar mahupun majalah mereka.


Mudah-mudahan kes curi foto atau "minta" foto secara percuma untuk tujuan kormesial berkurangan dan semua pihak akan jadi lebih bertanggungjawab, professional dan saling bantu membantu memajukan di antara satu sama lain.


I am using FLM ball head & Fotopro tripod.


 

Monday, July 22, 2013

Harga sekeping GAMBAR (FOTO)

Saya selalu ditanya oleh sahabat-sahabat berkenaan bagaimana memberi harga pada foto-foto mereka. Biasanya saya jawab, "Terserah pada awaklah sebab awak yang ambil gambar..."

Sekadar ingin berkongsi satu cerita, pada suatu hari seorang dari syarikat pengiklanan di Kuantan menghubungi saya kerana ingin membeli softcopy (hi-res) foto Air Terjun Genat. Beliau menjumpai foto saya melalui "search engine" di internet.

Ini fotonya ;

sila klik utk paparan yg lebih besar.
Image

Pendek cerita, ini antara dialog yg berlaku,

Tauke : Berapa you mau jual itu gambar air terjun?
Saya : Tauke mahu guna untuk apa?

Tauke : Saya mau buat pamplet.
Saya : RM400 sahaja utk sekali guna.

Tauke : Aiyaa, banyak mahal... itu gambar awak klik sajer.. apa pasal banyak mahal?
Saya : Sebenarnya tak mahal, utk dapatkan gambar itu saya perlu trekking dalam hutan selama 4 jam, sambil pikul beg dan barang kamera, tripod lagi. 4 jam pergi sahaja, balik lagi 4 jam.. jalan kaki dalam hutan tak sama dengan jalan di bandar, pacat lagi, ada binatang buas lagi, kena bayar guide lagi...
Sampai sana belum tentu boleh ambil gambar lagi, kalau tak ada rezeki hari hujan, tak boleh keluar kamera..
Kalau cuaca baik dan klik sajer macam tauke cakap, belum tentu boleh dapat foto macam ini kalau tak tahu teknik..

Pendek cerita bukan senang mahu dapat gambar tu, RM400 tu sebenarnya sangat patut.. Kalau gambar ambil tepi rumah saya mungkin saya boleh jual RM50 sahaja...

Tauke : Aiyaa, apa susah.. KLIK sahaja kan.. RM150 sudahlah.. kira cincai laa..
Saya : Tauke, kalau mahu murah, free pun boleh, tauke pergi sendiri depan itu air terjun, tauke KLIK sahaja.. senang sahaja.. KLIK sahaja...

Perbualan telefon ini berlaku kira-kira 3 tahun yang lalu. Sebetulnya saya bukanlah jenis orang yang berkira mengenai harga foto-foto saya, tetapi disebabkan beliau tidak memahami pengorbanan disebalik sekeping foto maka itulah jawapan saya kepada beliau. 

Sebenarnya ada banyak peristiwa begini dikalangan teman-teman pemfoto. Saya kongsikan pengalaman ini untuk sahabat-sahabat jadikan sedikit panduan kalau ada orang ingin membeli foto-foto sahabat-sahabat.

Jadi persoalannya bukan setakat KLIK ajer dapat gambar, ada banyak PERKIRAAN dan PERTIMBANGAN untuk menghasilkan sekeping foto. Ianya bergantung kepada siapakah yang mengKLIK. Kalau pemfoto professional, mereka ada "sentuhan" tersendiri atau lebih dikenali sebagai "signature" pada foto-foto yg mereka hasilkan. 

Kalau setakat KLIK ajer boleh hasilkan foto, maka ramailah boleh jadi jurufoto kepada National Geographic

Sama juga macam memasak, orang kata apa susah, "campak-campak", "kacau-kacau" dah jadi satu masakan, tetapi hakikat siapa yang mencampak dan mengacau itu yang penting. Sebab itu "tukang campak" atau "tukang kacau" di hotel gajinya ribu-raban. Kalau tidak ramailah boleh jadi chef di hotel-hotel atau restoran terkemuka dunia. Sebab itu siri "Master Chef" tidak habis-habis kerana terlalu luas "SENI" kulinari yang bukan setakat sebarang "campak-campak" dan "kacau-kacau" sahaja.

Begitu juga menulis, bukan setakat "tenyeh" ajer, tetapi ilmu, disiplin, gaya bahasa dan seni menulis itu membezakan martabat tulisan yang dihasilkan. Kalau tidak ramailah orang boleh jadi penulis.

Kembali kepada fotografi, siapa pemfoto yang mengKLIK foto itu yang layak menentukan harga setiap foto yang beliau hasilkan. Tambahan pula setiap foto adalah "unik" kerana setiap foto tidak sama dengan foto yang lain. Walaupun subjek yang sama tetapi sepuluh orang pemfoto akan menghasilkan 10 foto yang berbeza. 

Kalau rajin boleh baca di SINI untuk mengetahui mengenai 10 keping foto yang termahal di dunia.

I am using FLM ball head & Fotopro tripod.