Monday, July 22, 2013

Harga sekeping GAMBAR (FOTO)

Saya selalu ditanya oleh sahabat-sahabat berkenaan bagaimana memberi harga pada foto-foto mereka. Biasanya saya jawab, "Terserah pada awaklah sebab awak yang ambil gambar..."

Sekadar ingin berkongsi satu cerita, pada suatu hari seorang dari syarikat pengiklanan di Kuantan menghubungi saya kerana ingin membeli softcopy (hi-res) foto Air Terjun Genat. Beliau menjumpai foto saya melalui "search engine" di internet.

Ini fotonya ;

sila klik utk paparan yg lebih besar.
Image

Pendek cerita, ini antara dialog yg berlaku,

Tauke : Berapa you mau jual itu gambar air terjun?
Saya : Tauke mahu guna untuk apa?

Tauke : Saya mau buat pamplet.
Saya : RM400 sahaja utk sekali guna.

Tauke : Aiyaa, banyak mahal... itu gambar awak klik sajer.. apa pasal banyak mahal?
Saya : Sebenarnya tak mahal, utk dapatkan gambar itu saya perlu trekking dalam hutan selama 4 jam, sambil pikul beg dan barang kamera, tripod lagi. 4 jam pergi sahaja, balik lagi 4 jam.. jalan kaki dalam hutan tak sama dengan jalan di bandar, pacat lagi, ada binatang buas lagi, kena bayar guide lagi...
Sampai sana belum tentu boleh ambil gambar lagi, kalau tak ada rezeki hari hujan, tak boleh keluar kamera..
Kalau cuaca baik dan klik sajer macam tauke cakap, belum tentu boleh dapat foto macam ini kalau tak tahu teknik..

Pendek cerita bukan senang mahu dapat gambar tu, RM400 tu sebenarnya sangat patut.. Kalau gambar ambil tepi rumah saya mungkin saya boleh jual RM50 sahaja...

Tauke : Aiyaa, apa susah.. KLIK sahaja kan.. RM150 sudahlah.. kira cincai laa..
Saya : Tauke, kalau mahu murah, free pun boleh, tauke pergi sendiri depan itu air terjun, tauke KLIK sahaja.. senang sahaja.. KLIK sahaja...

Perbualan telefon ini berlaku kira-kira 3 tahun yang lalu. Sebetulnya saya bukanlah jenis orang yang berkira mengenai harga foto-foto saya, tetapi disebabkan beliau tidak memahami pengorbanan disebalik sekeping foto maka itulah jawapan saya kepada beliau. 

Sebenarnya ada banyak peristiwa begini dikalangan teman-teman pemfoto. Saya kongsikan pengalaman ini untuk sahabat-sahabat jadikan sedikit panduan kalau ada orang ingin membeli foto-foto sahabat-sahabat.

Jadi persoalannya bukan setakat KLIK ajer dapat gambar, ada banyak PERKIRAAN dan PERTIMBANGAN untuk menghasilkan sekeping foto. Ianya bergantung kepada siapakah yang mengKLIK. Kalau pemfoto professional, mereka ada "sentuhan" tersendiri atau lebih dikenali sebagai "signature" pada foto-foto yg mereka hasilkan. 

Kalau setakat KLIK ajer boleh hasilkan foto, maka ramailah boleh jadi jurufoto kepada National Geographic

Sama juga macam memasak, orang kata apa susah, "campak-campak", "kacau-kacau" dah jadi satu masakan, tetapi hakikat siapa yang mencampak dan mengacau itu yang penting. Sebab itu "tukang campak" atau "tukang kacau" di hotel gajinya ribu-raban. Kalau tidak ramailah boleh jadi chef di hotel-hotel atau restoran terkemuka dunia. Sebab itu siri "Master Chef" tidak habis-habis kerana terlalu luas "SENI" kulinari yang bukan setakat sebarang "campak-campak" dan "kacau-kacau" sahaja.

Begitu juga menulis, bukan setakat "tenyeh" ajer, tetapi ilmu, disiplin, gaya bahasa dan seni menulis itu membezakan martabat tulisan yang dihasilkan. Kalau tidak ramailah orang boleh jadi penulis.

Kembali kepada fotografi, siapa pemfoto yang mengKLIK foto itu yang layak menentukan harga setiap foto yang beliau hasilkan. Tambahan pula setiap foto adalah "unik" kerana setiap foto tidak sama dengan foto yang lain. Walaupun subjek yang sama tetapi sepuluh orang pemfoto akan menghasilkan 10 foto yang berbeza. 

Kalau rajin boleh baca di SINI untuk mengetahui mengenai 10 keping foto yang termahal di dunia.

I am using FLM ball head & Fotopro tripod.