Showing posts with label Merapoh Caves. Show all posts
Showing posts with label Merapoh Caves. Show all posts

Tuesday, September 15, 2020

KLPF 2020 : FOTOGRAFI GUA



Alhamdulillah pada 6 Sept 2020, saya telah bersiaran secara di dalam talian (online) di KUALA LUMPUR PHOTOGRAPHY FESTIVAL 2020 (KLPF 2020) bersama Abg Shamsi dan juga Safuan.



Kami berkongsi pengalaman memfoto gua-gua di Malaysia, khususnya GUA-GUA MERAPOH. Kepada yang ketinggalan siaran program PHOTOMANIA tersebut bolehlah klik DI SINI.










Monday, June 29, 2020

GUA SEBELAS PUTERI, MERAPOH

"Group photo" kami di dalam Gua Sebelas Puteri
Gua Sebelas Puteri terletak tidak berapa jauh dari Gua Tahi Bintang di Kg Kubang Rusa, Merapoh, Pahang, Malaysia.

Gua ini mendapat namanya kerana sewaktu pasukan "Save Merapoh Cave" membuat penerokaan gua ini, mereka disertai oleh 11 orang aktivis perempuan atau puteri. Ada juga kumpulan lain yang menamakan gua ini dengan nama Gua Pasir Runtuh. Apa pun nama yang diberi tidaklah penting, yang terlebih utama ialah gua ini sangat indah dan keindahan tersebut mestilah dipelihara.
Adam Daniel di dalam salah satu "chamber" di bahagian atas Gua Sebelas Puteri.
Gua ini sebahagiannya adalah gua sungai dan di bahagian hujungnya perlu mendaki untuk sampai ke bahagian atau "chamber" atas yang mana di bumbungnya ada lubang yang membolehkan para pengunjung gua ini menikmati jalur cahaya matahari atau "ray of light" yang menerobosi gua tersebut. Untuk menikmati pemandangan yang unik ini, kita kena masuk ke gua ini ketika cuaca baik dan panas. Sekiranya cuaca mendung, maka harapan untuk melihat "ray of light" adalah tipis.

Saya bersama anak di bawah jalur cahaya matahari.
Adam di dalam "chamber" berhampiran pintu Gua Sebelas Puteri.
Adam berdiri di samping formasi "flowstone" yang seakan-akan cendawan.

Laili Basir di dalam "chamber" yang kelihatan seperli mulut jerung.
Jemput datang ke Merapoh dan menikmati keindahan gua-gua di Merapoh. Sila berhubung dengan syarikat "tour operator" yang berlesen dari kalangan anak tempatan Merapoh.




Saturday, June 27, 2020

Gua Tahi Bintang (Meteor Shower Cave), Merapoh

Baru-baru ini pada 19 Jul 2020, saya berkesempatan memfoto Gua Tahi Bintang atau "Meteor Shower Cave" sekali lagi bersama rakan-rakan pemfoto.

Rasanya ini kali yang kelima saya memfoto di gua ini, cuma kali ini buat pertama kalinya saya dapat merakamkan keadaan pintu masuk ke Gua Tahi Bintang yang dipenuhi air.
PINTU MASUK GUA TAHI BINTANG





































Gua Tahi Bintang terletak di Kg Kubang Rusa, Merapoh, Lipis, Pahang Darul Makmur Malaysia.

Ia mendapat nama dari formasi seperti hujanan tahi bintang (meteor shower) yang jatuh ke bumi pada dindingnya seperti di dalam gambar di bawah.
Ucop di hadapan formasi tahi bintang pada dinding gua.













Untuk menikmati keindahan gua-gua yang berbagai warna serta corak, kita hanya perlu ke MERAPOH, Pahang. Kalau dari Kuala Lumpur, perjalanan ke Merapoh hanya sekitar 2 jam setengah.

Sesiapa yang berminat boleh berhubung dengan ramai "guide" berlesen atau "tour operator" di Merapoh seperti RA Adventured Travel & Tour Sdn Bhd, Merapoh Adventure dan banyak lagi. Hubungi mereka, insyallah anda akan berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.

Adam di dalam "chamber" utama Gua Tahi Bintang.

Warna dan corak unik pada bumbung (ceiling) gua dan formasi
"flowstone" yang kelihatan seperti otak.

"Light-trail" dari lampu pelawat gua.

"Whip Spider", salah satu spesis penghuni gua ini.




















































Menurut pakar-pakar eksplorasi gua terdapat lebih dari 400 buah gua di Merapoh, namun sekitar 142 buah gua telah ditemui dan dieksplorasi.

Saya ke Merapoh untuk memfoto dan mendokumentasi gua-gua di Merapoh semenjak tahun 2013. Kerja-kerja meneroka dan mendokumentasi gua-gua Merapoh dibuat oleh anak tempatan Merapoh dengan bantuan pakar-pakar dari dalam dan luar negara.

HUGS telah mengerakkan "SELAMATKAN GUA-GUA MERAPOH" atau "SAVE MERAPOH CAVES" mulai tahun 2012 apabila gua-gua Merapoh terancam oleh pembinaan kilang simen.

Foto-foto dirakam menggunakan NIKON Z50.

#nikonzphotographers #nikonmalaysia #nikonz50 #z50 #nikon #DX #iammirrorless #nikonschool #nikonasia #nikonclubmalaysia #MyZOntheGo #kualalipis #pahang #lipisgeopark #merapohbiosphere #cavingparadiseofpeninsularmalaysia #speleoworld #karstworld #speleology #cavephotography #reflection

* Foto-foto di dalam blog ini adalah sedia untuk dijual. Jika anda berminat untuk membeli samada dalam bentuk cetakan besar ataupun "sofcopy", sila email kepada 2121studio@gmail.com .

Tuesday, February 10, 2015

Gua Sisik Naga, Merapoh

Gua Sisik Naga (Dragon Scale Cave) adalah salah sebuah dari ratusan gua-gua indah yang terdapat di Merapoh, Lipis, Pahang Darul Makmur. 

Ini adalah salah satu ruang atau "chamber" di penghujung Gua Sisik Naga.



Foto dirakamkan menggunakan lensa mata ikan Nikkor 10.5mm.

Gua-gua yang indah dan masih belum terusik di Merapoh akan lenyap suatu masa nanti sekiranya tiada usaha pemeliharaan dan pembinaan kilang simen tidak dihalang. Sama-sama kita selamatkan gua-gua Merapoh.


Thursday, September 19, 2013

Gua-gua di Merapoh (Merapoh Caves)

GUA-GUA MERAPOH (MERAPOH CAVES)



Alhamdulillah pada 3 hingga 5 Sept baru-baru ini, saya dan Sukairi telah berkesempatan untuk merakamkan gua-gua di Merapoh, Kuala Lipis, Pahang. Selama 3 hari di sana, kami hanya dapat merakamkan 5 buah gua. Kerja-kerja kami dibantu oleh Laili Basir (Pengasas gerakan "SAVE Merapoh Caves") dan teman-teman beliau.

Saya merakamkan foto (still photo), manakala Sukairi merakamkan video dalam bentuk dokumentari.

Khabarnya ada 500 lebih gua ada di sekitar Merapoh, namun begitu sehingga hari ini, mereka telah menemui 100 lebih gua. Aktiviti meneroka dan menjelajah gua-gua di Merapoh berjalan dari masa ke samasa oleh pasukan sukarelawan pencinta gua "SAVE Merapoh Caves".  

Selama 3 hari di sana, kami berkesempatan merakamkan foto di Gua Tahi Bintang, Gua Seribu Cerita, Gua Air Mata Dayang, Gua Jinjang Pelamin dan Gua Hari Malaysia.

Ada gua yang kategori "santai" dan ada gua yang memerlukan keupayaan fizikal yang mantap untuk menjelajahinya. Setiap gua mempunyai keindahan dan keunikan yang tersendiri. Ada gua yang kering dan ada juga yang basah. Ada juga gua bersungai seperti Gua Hari Malaysia.

Pada hari pertama (3 Sept 2013), kami sampai di Merapoh dari Kuantan pada pukul 2.30 pm. Selepas makan tengahari dan melakukan persiapan, kami memasuki Gua Tahi Bintang pada pukul 4.45 pm dan keluar dari gua tersebut pada pukul 10.00 pm. Keindahan formasi di dalam gua tersebut memang memukau kami.

Berikut adalah beberapa foto Gua Tahi Bintang (Meteor Shower Cave)



. . 

Pada 4 Sept 2013 kami memulakan rakaman foto di Gua Seribu Cerita (Cave of Thousand Tales). Keunikan gua ini terletak pada lukisan orang asli kuno pada dinding gua tersebut. Gua ini dinamakan Gua Seribu Cerita kerana setiap orang yang melihat lukisan-lukisan di dinding gua tersebut akan mempunyai interpretasi atau fahaman berbeza terhadap satu-satu lukisan.





Video ringkas yang sempat saya rakamkan di dalam Gua Seribu Cerita.




Selepas Gua Seribu Cerita, kami ke Gua Air Mata Dayang. Ianya adalah gua yang ada kolam dari luar ke dalam gua. Di gua ini diadakan aktiviti "water rafting" ataupun "tubing". Kedalaman air di gua ini masih belum diketahui. Insyallah di dalam bulan Oktober yang mendatang, Laili Basir akan membawa pasukan penyelam professional untuk menyelam dan menjelajah gua ini.





Selepas shot di Gua Air Mata Dayang, kami berehat sambil minum petang di warung berdekatan. Seterusnya kami meneroka Gua Jinjang Pelamin. Gua ini juga sangat unik formasi-formasinya.

Di dalam Gua Jinjang Pelamin ini ada formasi seakan-akan menara berkembar KLCC. Ianya adalah stalactite dan stalagmite yang telah bercantum menjadi "pillar" atau "column".





Pada 5 Sept 2013, kami merakamkan Gua Hari Malaysia.

Laili Cascade

Gua ini dinamakan Gua Hari Malaysia kerana team sukarelawan "SAVE Merapoh Cavesmenjumpai gua tersebut pada 16 Sept 2012 iaitu pada hari sambutan "Hari Malaysia"

Ini adalah gua yang paling mencabar untuk merakamkan foto berbanding gua-gua yang sebelumnya. Untuk ke sana, kita perlu menaiki kenderaan pacuan 4 roda (4WD) dan berjalan sekitar 45 minit menyusuri Sg. Merapoh dan anak Sg. Merapoh.

 

Ini adalah salah satu lata yang akan kita temui semasa menyusuri anak Sg Merapoh menuju ke Gua Hari Malaysia.



Gua Hari Malaysia adalah gua yang bersungai di dalamnya (river cave). Untuk melakukan aktiviti fotografi di dalamnya, peralatan-peralatan fotografi kita mestilah disimpan di dalam "drybag". Pintu masuk ke gua tersebut adalah rendah dan kecil. Kita perlu merangkak untuk masuk.

Habli Basir di pintu Gua Hari Malaysia.



Di dalam Gua Hari Malaysia terdapat banyak air terjun dan jeram. Sepanjang perjalanan di dalam gua adalah "basah". Di bawah ialah air sungai yg mengalir dan dari atas air menitis seperti hujan yang tidak henti-henti. Ada tempat yang memerlukan kita berenang, ada tempat perlu meniarap dan ada tempat perlu memanjat menggunakan tali.

Air Terjun pertama yang akan kita temui di dalam Gua Hari Malaysia ialah "Merapoh Cascade". Ketinggian air terjunAir Terjun pertama  ini sekitar 4 meter, tetapi cabarannya ialah perlu mendakinya dengan menggunakan tali dan sewaktu mendaki dirintangi oleh arus deras air terjun itu.



Selepas melepasi "Merapoh Cascade" kita perlu berenang dengan menyusuri dan berpaut pada dinding gua dan selepas itu perlu menggunakan tali untuk melepasi air terjun kedua yang berbentuk lengkungan huruf "C" terbalik. Selepas itu perjalanan agak santai, namun basah sepanjang perjalananan.

Antara air terjun yg cantik di dalam Gua Hari Malaysia ialah "Laili Cascade".



Beginilah antara suasana di dalam Gua Hari Malaysia yang sempat saya rakamkan.

 

Bermula jam 10.00 pagi dan sekitar 5.15 petang baru kami keluar dari Gua Hari Malaysia. Pengembaraan gua yang sungguh menakjubkan. Kepada peminat gua, anda mesti datang ke sini.


Selepas keluar dari gua saya merakamkan flora yang ada di sekitar gua, antaranya ialah Rhizanthes lowii (Beccari) Harms (Rafflesia- ceae) atau nama tempatannya ialah Padma Tikus tumbuh melata di sekitar Gua Hari Malaysia. Ianya adalah bunga rafflesia yang terkecil di dunia.



Sewaktu saya merakamkan bunga ini, malangnya tiada yang baru kembang. Mudah-mudahan dikunjungan akan datang saya akan bernasib baik untuk merakamkan bunga ini sedang berkembang mekar. Insyallah.

Ada banyak lagi flora dan herba di sekitar gua ini. Disebabkan hujan gerimis mula turun maka tidak banyak yang dapat saya rakamkan. Ini antaranya, sila klik foto untuk paparan yang lebih besar.

  

Inilah sedikit perkongsian pengalaman dan foto-foto beberapa gua di Merapoh yang sangat indah dan unik. Malangnya sebahagian gua-gua di Merapoh akan diletupkan oleh kilang simen yang bakal dibina di sana. Semuga kita sama-sama membantu gerakan "SAVE Merapoh Caves". Semuga gua-gua ini dapat diselamatkan.

Kepada sesiapa yang ingin menyertai dan membantu gerakan menyelamatkan gua-gua di Merapoh boleh berhubung dengan Saudara Laili Basir. Begitu juga kepada yang berminat untuk menjelajahi gua-gua di Merapoh sila berhubung dengan Laili Basir.

Sama-sama kita doakan semuga gua-gua di Merapoh berjaya dipelihara dan anak cucu kita nanti boleh mendapat manafaat darinya. Amin.

Video oleh Laili Basir sewaktu "Malaysia - Crotia Scientific Expedition" di Gua Hari Malaysia.



Laili Basir juga ada menulis secara lebih terperinci berkenaan gua-gua di Merapoh. Sila luangkan masa untuk membaca BLOG beliau.


MARI BERSAMA-SAMA SELAMATKAN GUA-GUA DI MERAPOH.








I am using FLM ball head & Fotopro tripod.