Thursday, June 27, 2013

Fotografi dan Manusia

Image

Fotografi dan Manusia

Allah swt yang maha berkuasa telah menciptakan alam semesta dengan berbagai keindahan dan keajaiban. Manusia adalah ciptaan Allah swt yang paling menakjubkan dan dipertangungjawabkan sebagai khalifah di muka bumi. Adalah menjadi fitrah manusia menyukai keindahan dan kecantikan.

Semenjak zaman dahulu kala manusia mengabadikan keindahan yang mereka lihat dan nikmati dalam bentuk lakaran pada dinding gua, lukisan dan juga ukiran. Selain daripada menjadi karya seni, ianya adalah rakaman sejarah yang menjadi rujukan kepada manusia di masa akan datang. Kaedah manusia berseni dan merakamkan sejarah berkembang mengikut peredaran zaman dan masa. Daripada lakaran pada dinding gua berkembang kepada penggunaan alat perakam berasaskan cahaya iaitu kamera.

Fotografi berasal dari dua perkataan Greek iaitu φως (phos) dan γραφίς (graphis) membentuk perkataan “photography” yang bermakna melukis cahaya. Oleh itu jurufoto juga dikenali sebagai pelukis cahaya. Secara ringkasnya, penemuan kamera lubang jarum oleh ilmuan Islam telah berkembang menjadi kamera yang kita lihat pada hari ini. Kamera adalah alat penting untuk menghasilkan foto atau gambar.

Fotografi semenjak diperkenalkan memainkan peranan penting di dalam kehidupan manusia. Manusia seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan fotografi, daripada foto pengenalan diri pada kad pengenalan, surat khabar, majalah, buku ilmiah, papan iklan sehinggalah kepada laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan macam-macam lagi. 


Di zaman digital ini, tanpa kita sedari jutaan foto telah beredar keseluruh dunia membawa beraneka mesej dan makna kepada manusia yang melihatnya. Dengan kata lain, fotografi menjadi salah satu media komunikasi visual untuk manusia berkenalan, berkongsi emosi samada kegembiraan atau kesedihan bahkan fotografi juga boleh menjadi agen perubahan kepada sejarah manusia. Contohnya, foto-foto mangsa tsunami yang melanda Acheh telah menarik bantuan antarabangsa yang membangunkan semula bumi Acheh.

Foto boleh melahirkan perasaan damai dan ketenangan kepada manusia. Contohnya foto-foto keindahan alam seperti pemandangan pantai putih bersih dengan air laut jernih membiru begitu mendamaikan. Foto juga boleh menerbitkan perasaan insaf kepada manusia, misalnya foto-foto mangsa kemalangan jalanraya membuatkan manusia yang melihatnya terasa insaf dan menjaga keselamatan ketika di jalanraya.

Foto ada di mana-mana. Hampir semua bidang yang manusia ceburi mempunyai hubungan khusus dengan fotografi, baik bidang kesenian, pendidikan, perniagaan, perubatan, ketenteraan mahupun kepolisian. Tidak hairanlah kalau wujud industri perdagangan foto yang bernilai billion Ringgit Malaysia kerana permintaan terhadap foto adalah tinggi. Bukan itu sahaja, kepentingan dan keperluan terhadap foto telah mewujudkan kerjaya jurufoto. Jabatan-jabatan kerajaan mahupun syarikat-syarikat swasta ada jawatan jurufoto dan sesetengahnya ada unit fotografi.

Selain daripada suatu hobi yang sihat, fotografi juga boleh menjana pendapatan kepada penggemarnya. Oleh itu, untuk merakamkan foto yang baik dan cantik, kita perlulah memahami asas-asas penting senifoto yang akan saya kongsikan pada "entry" akan datang. Insyallah....


I am using FLM ball head & Fotopro tripod.

No comments: